SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada di dalam kapal persiaran MV Hondius yang terdedah kepada jangkitan hantavirus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan wabak tersebut di peringkat global dan serantau bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sempadan serta sistem kesihatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Untuk makluman, hantavirus adalah virus bawaan tikus yang merebak kepada manusia melalui udara tercemar dengan sisa kotoran, air kencing, atau air liur haiwan tersebut.
“Jangkitan ini tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut, dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus,” katanya di Facebook.
Beliau berkata langkah pencegahan serta kawalan kendiri merupakan perisai pertahanan paling penting memandangkan tiada ubat antivirus khusus bagi penyakit itu ketika ini.
“Rakyat tidak perlu panik, namun mesti kekal berwaspada. Saya menggesa seluruh masyarakat untuk sentiasa memastikan kebersihan kediaman serta premis kerja terpelihara daripada ancaman haiwan perosak,” katanya.

Selain itu, Dzulkefly meminta orang ramai merujuk gambar infografik di platform media sosialnya bagi mendapatkan panduan mengenai gejala, cara penularan dan tatacara pembersihan kotoran haiwan yang selamat.
Berdasarkan infografik itu, antara gejala awal jangkitan ialah demam dan menggigil, sakit otot, sakit kepala serta letih dan lesu manakala gejala serius termasuk sesak nafas, tekanan darah rendah serta masalah buah pinggang.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan negara Eropah meningkatkan langkah pemantauan dan pengasingan selepas berlakunya wabak hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran berbendera Belanda MV Hondius.








