PUTRAJAYA, 12 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti langkah bagi meningkatkan jumlah jururawat, termasuk melalui institusi latihan milik kementerian serta sektor swasta, kata Timbalan Menterinya Datuk Hanifah Hajar Taib.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini, beliau berkata KKM juga sedang mempertimbangkan latihan penjagaan khusus bagi jururawat untuk memenuhi keperluan masyarakat menua.
“KKM sedang meneliti pelbagai cara untuk menambah bilangan jururawat, sama ada melalui institusi latihan milik kementerian sendiri atau sektor swasta. Kami juga berusaha memastikan bahawa, selaras dengan masyarakat yang semakin menua, jururawat digalakkan mengikuti latihan penjagaan khusus,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui kekurangan jururawat merupakan isu legasi yang berkait dengan moratorium terdahulu serta penutupan beberapa Institut Latihan KKM.
Keadaan ini telah menyebabkan kekurangan jururawat pada masa ini, termasuk jururawat dengan pengkhususan pascaasas serta jururawat am, di kedua-dua sektor awam dan swasta.
Dalam pada itu, Hanifah Hajar berkata KKM secara proaktif akan terus memperkukuh kerjasama dengan kemudahan perubatan dikendalikan sektor swasta dan institusi pendidikan kejururawatan dalam usaha menangani keperluan penjagaan warga emas, termasuk kekurangan pakar geriatrik di negara ini.
Beliau berkata kerjasama itu penting memandangkan Malaysia sedang menuju status negara menua dengan keperluan terhadap perkhidmatan geriatrik dijangka terus meningkat.
"KKM sentiasa bekerjasama bukan sahaja dengan fasiliti kesihatan kerajaan tetapi juga dengan fasiliti swasta dari segi institusi pendidikan. Mana-mana organisasi yang boleh terlibat membantu memperkasakan lagi apa yang ada, (kita) akan laksanakan," katanya.
Beliau berkata kepakaran sedia ada dalam bidang berkenaan akan terus diperkasa bagi membantu meningkatkan mutu penjagaan warga emas terutama di fasiliti kesihatan awam.
“Daripada kepakaran yang ada, kita akan perkasakan sebanyak boleh. Ini usaha kita nak pastikan tanggungan bukan sahaja (terletak) di bawah kerajaan tetapi juga hospital swasta,” katanya.
Media hari ini melaporkan, Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam menyediakan penjagaan kesihatan kepada golongan warga emas apabila negara hanya mempunyai 67 pakar geriatrik bagi menampung keperluan kira-kira 4.1 juta penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Situasi itu menyaksikan nisbah seorang pakar perlu menampung sekitar 60,000 warga emas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan sistem kesihatan negara dalam menghadapi peningkatan populasi menua.









