Sidec giat bantu syarikat pemula AI, semikonduktor tembusi pasaran global

15 Mei 2026, 10:56 AM
Sidec giat bantu syarikat pemula AI, semikonduktor tembusi pasaran global

SHAH ALAM, 15 MEI: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mempergiat usaha membantu syarikat pemula tempatan menembusi pasaran global dengan memberi tumpuan kepada sektor berpotensi tinggi termasuk semikonduktor, dron, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata Sidec kini meletakkan syarikat pemula tempatan dalam kedudukan strategik untuk merebut peluang bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di pasaran baharu seperti Asia Barat, Brazil, Kazakhstan dan Afrika Selatan.

“Permintaan yang semakin meningkat terhadap teknologi seperti sistem pemanduan autonomi, robotik dan penyelesaian berasaskan AI membuka peluang besar kepada syarikat Malaysia untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Kami melihat potensi besar dalam sektor dron, robotik, teknologi pemanduan autonomi, semikonduktor dan penyelesaian dipacu AI khususnya bagi industri melibatkan pelabuhan, lapangan terbang dan pertanian,” katanya kepada Media Selangor selepas majlis ‘Selangor CXO Club Closing Gala’ di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Kai Ping berkata Sidec turut meneroka inisiatif tokenisasi atau pengewangan token melibatkan blockchain dan aset digital termasuk aplikasi berkaitan hartanah, karya seni dan transaksi aset.

Beliau berkata pembangunan bakat turut menjadi keutamaan termasuk usaha menarik tenaga kerja Malaysia berpengalaman di luar negara untuk pulang dan menyumbang kepada pembangunan syarikat pemula tempatan terutama dalam industri semikonduktor, peruncitan dan tokenisasi.

Mengenai program 'Selangor CXO Club', beliau berkata inisiatif itu diwujudkan bagi membantu syarikat pemula bersedia ke arah tawaran awam permulaan (IPO), mengukuhkan asas perniagaan dan mendapatkan peluang pembiayaan melebihi RM1 juta.

“Kira-kira 60 syarikat pemula yang tamat program pecutan Sidec sebelum ini kini berkembang dalam ekosistem CXO dan sedang menuju pertumbuhan perniagaan lebih kukuh serta peluang pasaran modal.

“Kerjasama antara Kerajaan Selangor dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan membantu melahirkan lebih banyak syarikat pemula berprestasi tinggi yang mampu memasuki pasaran modal.

“Sidec bersama inisiatif pembiayaan disokong Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) juga merancang menyalurkan lebih banyak pelaburan kepada syarikat pemula berkaitan semikonduktor dan AI selepas ini,” katanya.

Program Selangor CXO Club merupakan program kepimpinan eksekutif dan pemecut perniagaan anjuran Sidec bagi membantu syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi tinggi memperkukuh kepimpinan, mengembangkan operasi dan bersedia untuk peluasan pasaran serantau.

Kai Ping berkata program itu turut membantu syarikat pemula membuat persediaan memenuhi keperluan pasaran modal termasuk proses usaha wajar, pengukuhan struktur pengurusan, penambahbaikan model perniagaan serta peningkatan prestasi jualan.

“Inisiatif ini akan memberi fokus kepada penggunaan ejen AI dalam operasi seperti sumber manusia, kewangan dan automasi perniagaan bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi.

“Peserta juga akan didedahkan kepada penggunaan alat AI lebih maju melibatkan pengekodan, automasi, pembangunan laman web, penjanaan video dan aliran kerja dipacu data melebihi penggunaan chatbot konvensional,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.