Saifuddin sangkal laporan samakan kegiatan dadah Langkawi dengan kartel antarabangsa

15 Mei 2026, 9:14 AM
Saifuddin sangkal laporan samakan kegiatan dadah Langkawi dengan kartel antarabangsa

KULIM, 15 MEI: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal laporan berita yang menyamakan kegiatan pengedaran dadah di Langkawi seperti operasi kartel antarabangsa.

Beliau berkata “magnitud” pengedaran dadah di pulau peranginan itu tidak boleh disamakan seperti kartel dadah yang diketuai pengedar dadah Pablo Escobar, yang mengawal seluruh instrumen pengedaran dadah yang rumit.

“Di Langkawi ini tidaklah sampai tahap macam itu sekali, tetapi tidak apalah, media memilih untuk menyatakan begitu, tidak apalah itu pilihan dia (media).

“Cuma kita tahu, bertindak atas semua maklumat perisikan yang kita ada dan intipan kita bukannya hanya setelah media dedahkan, tidak, ia adalah pengintipan sepanjang masa dan bila masanya memerlukan kita membuat tindakan, serbuan, maka kita buatlah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat di Taman Sejahtera, Lunas, di sini hari ini.

Siasatan kegiatan pengedaran dadah di Langkawi dilakukan secara menyeluruh dengan menumpukan kepada semua elemen termasuk jenayah terancang, dan dakwaan penglibatan anggota penguat kuasa.

Saifuddin Nasution berkata polis tidak akan melindungi mana-mana individu termasuk anggotanya yang terbabit dalam kegiatan itu, dan akan membuka kertas siasatan mengikut undang-undang sedia ada.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.