KDN urus hingga 14,000 kes kanak-kanak tidak berdaftar setiap tahun

15 Mei 2026, 7:45 AM
KDN urus hingga 14,000 kes kanak-kanak tidak berdaftar setiap tahun

KULIM, 15 MEI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih berdepan antara 13,000 hingga 14,000 kes kanak-kanak yang tidak didaftarkan kelahiran setiap tahun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu itu perlu diselesaikan bagi mengelakkan kanak-kanak yang terlibat menghadapi masalah pada masa hadapan.

“Tahun lepas, kita sudah selesaikan hampir 13,000 anak-anak yang sudah pun masuk dalam arus perdana persekolahan tetapi tidak ada dokumen pengenalan diri.

“Jadi melalui kerjasama KDN dan juga Kementerian Pendidikan, kesemuanya itu kita selesaikan dalam masa enam bulan, setelah angka itu diserahkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat beliau di Lunas, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi menyelesaikan isu itu, KDN khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berusaha membantu menyelesaikan kes-kes lewat pendaftaran yang disebabkan pelbagai faktor.

Selain menunggu ibu bapa atau penjaga membawa anak mereka ke pejabat JPN, Saifuddin Nasution berkata jabatan itu juga mengadakan program outreach bagi mengesan kes-kes berkenaan.

“Saya percaya bahawa melalui kaedah ini, melalui cara ini, kita dapat selesaikan serta-merta masalah anak-anak tanpa dokumen pengenalan diri kerana ia akan jadi permulaan kepada masalah kalau tidak diperbetul.

“Persekolahan mereka, perbelanjaan hospital mereka dan banyak lagi laluan akan menjadi susah kalau tidak diperbetul dari awal terutama sekarang ini, pemberian inisiatif-inisiatif kebajikan kerajaan kepada rakyat banyak memerlukan penggunaan MyKad,” katanya.

Beliau berkata KDN mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah itu serta-merta mengikut semua peruntukan undang-undang dan peraturan yang ada.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.