PUTRAJAYA: Malaysia bakal memasuki fasa baharu dalam pengurusan identiti negara apabila Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dijadual dilaksanakan sepenuhnya pada September ini, seiring peningkatan ciri keselamatan MyKad bermula Jun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan itu menjadi langkah penting bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkemas sistem identiti negara dan memastikan pergerakan rakyat lebih teratur.
Menurut beliau, pembaharuan tersebut membabitkan kad pengenalan dan pasport yang dilengkapi ciri keselamatan terkini, selaras keperluan semasa dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
"Saya percaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia dengan pelan A dan pelan B.
"Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah dengan baik kerana sampai satu tempoh, kita kena mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya, dengan ciri keselamatan yang lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu," katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan KDN di Putrajaya, hari ini seperti dilapor BH.
Beliau berkata semua prasyarat pelaksanaan sistem itu juga telah disediakan, termasuk keupayaan menyokong pengisian maklumat permohonan kewarganegaraan seperti diluluskan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, media melaporkan KDN sedang melaksanakan kerja naik taraf dan migrasi data bagi MyNIISe untuk memperkukuh keselamatan data dan meningkatkan kecekapan sistem demi memastikan perkhidmatan imigresen yang lebih stabil, cekap serta mesra pengguna.
MyNIISe akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang digunakan lebih 20 tahun kerana sistem sedia ada tidak lagi mampu menangani cabaran keselamatan global, peningkatan jumlah pergerakan serta keperluan integrasi data.
Pada Januari lalu, Saifuddin berkata Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu dalam tempoh enam bulan sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan kepentingan kawalan sempadan serta kecekapan sistem imigresen dalam menguruskan pergerakan keluar masuk negara.
"Sebab pada saya, ini sebagai satu KPI (petunjuk prestasi utama) yang penting buat KDN tahun ini. Sempadan negara tak boleh dibolosi dengan pelbagai sindiket yang membelakangkan undang-undang," katanya.








