Mangsa bencana guna bantuan baik pulih premis, beli keperluan dapur

15 Mei 2026, 8:00 AM
Mangsa bencana guna bantuan baik pulih premis, beli keperluan dapur
Mangsa bencana guna bantuan baik pulih premis, beli keperluan dapur
Mangsa bencana guna bantuan baik pulih premis, beli keperluan dapur
Mangsa bencana guna bantuan baik pulih premis, beli keperluan dapur
Mangsa bencana guna bantuan baik pulih premis, beli keperluan dapur

KAJANG, 15 MEI: Pengusaha kantin berhasrat menggunakan bantuan bencana daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi membeli keperluan dapur selepas premisnya musnah dalam kebakaran awal tahun ini.

Aliyah Bashirah Maluin, 38, berkata kebakaran yang berlaku dua hari sebelum sesi persekolahan bermula menyebabkan hampir keseluruhan operasi kantin Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Bangi terjejas.

Menurutnya, ketika kejadian semua persiapan untuk memulakan sesi persekolahan sudah dibuat termasuk penyediaan pekerja dan bekalan makanan.

“Kantin terbakar berlaku dua hari sebelum sekolah bermula awal tahun ini. Kami dah buat persiapan sepenuhnya dan pekerja semua dah balik…dapat ‘call’ pengawal keselamatan maklumkan kantin terbakar,” katanya.

Beliau berkata sekolah yang terletak berhampiran balai bomba membolehkan pasukan penyelamat tiba dengan cepat untuk memadam kebakaran.

“Sekolah bersebelahan bomba jadi terus datang padam. Api memang cepat marak hampir 80 peratus terbakar,” katanya lagi.

Penerima, Aliyah Bashirah Maluin,38, ditemui ketika majlis serahan sumbangan bencana kebakaran dan ribut di DUN Kajang di Pusat Komuniti Kampung Sungai Kantan, Kajang pada 14 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Aliyah berkata ketika ini operasi jualan makanan dijalankan di luar kawasan perhimpunan sekolah sementara kerja baik pulih kantin diteruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, bantuan diterima daripada Yayasan MBI membantu mengurangkan beban kewangan selepas terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000.

“Alhamdulillah terima bantuan. Hendak guna beli barang kantin sebab dah habis hampir RM20,000 dan sedikit sebanyak dapat bantu memulihkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima bantuan bencana kepada mangsa ribut dan kebakaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang hari ini yang disampaikan Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama wakil rakyat Kajang David Cheong.

Penerima, S Subramaniam ditemui ketika majlis serahan sumbangan bencana kebakaran dan ribut di DUN Kajang di Pusat Komuniti Kampung Sungai Kantan, Kajang pada 14 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, mangsa ribut S Subramaniam, 63, berkata beliau bersyukur menerima bantuan selepas rumahnya rosak dipukul ribut sebelum sambutan Deepavali tahun lalu.

“Masa kejadian tengah malam ribut angin kuat dan atap rosak terbang dalam 15 keping. Masa baiki dekat RM4,500, banyak juga tapi dapat duit hari ini rezeki… senang sikit,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Dalam pada itu, Husin Abdul Latif, 67, berkata bantuan diterima akan digunakan untuk mengecat semula rumahnya yang masih mempunyai kesan jelaga akibat kebakaran berpunca daripada pendingin hawa.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor diiringi ADN Kajang, David Cheong menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika majlis serahan sumbangan bencana kebakaran dan ribut di Pusat Komuniti Kampung Sungai Kantan, Kajang pada 14 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.