Dua lelaki ditahan ketika pindah minyak sawit mentah secara haram

14 Mei 2026, 12:58 PM
Dua lelaki ditahan ketika pindah minyak sawit mentah secara haram

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Cubaan dua lelaki menjalankan kegiatan pemindahan minyak sawit mentah secara haram berjaya dipatahkan apabila mereka ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti itu dalam serbuan Ops Taring Palma di sekitar Taman Jalan Kem, Klang, Selangor, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Amanjit Singh berkata serbuan bersepadu pada 4 petang itu dijalankan Cawangan Risik PGA Semenyih bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Pelabuhan Klang serta Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Beliau berkata kedua-dua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 36 tahun itu ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti berkenaan, manakala hasil pemeriksaan di lokasi menemukan serta merampas kira-kira 30 tan minyak sawit mentah.

“Turut disita sebuah lori treler tangki bersaiz 40 kaki, sebuah lori jenis rigid muatan tiga tan serta beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amanjit berkata keseluruhan nilai rampasan bernilai RM505,000 dan kedua-dua suspek diserahkan kepada pihak MPOB Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) dan Akta Pengangkutan Jalan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.