Lelaki parah dirempuh pemandu mabuk lawan arus di Klang

14 Mei 2026, 2:00 AM
Lelaki parah dirempuh pemandu mabuk lawan arus di Klang

SHAH ALAM, 14 MEI: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk yang melawan arus sejauh kira-kira 3.5 kilometer di Persiaran Kota, Klang awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza dan motosikal itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dari arah Pelabuhan Klang menuju Shah Alam sebelum insiden berlaku.

"Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal berusia lingkungan 20-an tercampak dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan serta kaki kanan.

“Mangsa telah menerima rawatan kritikal di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala pemandu kereta hanya mengalami luka ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jit Huey berkata hasil ujian saringan awal mendapati pemandu terbabit positif alkohol sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

“Permohonan reman telah diperoleh daripada Majistret Klang sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

"Semua pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,"katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.