SHAH ALAM, 14 MEI: Program Bengkel Eksplorasi Diri anjuran Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bersama Bermaz Auto Training School memberikan peluang kepada pelajar yang kurang cenderung dalam bidang akademik mendalami program kemahiran berkaitan permotoran.
Ketua Pegawai Eksekutif YMRS Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata program itu disertai 20 pelajar tingkatan lima daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato’ Harun.

"Pelajar dapat merasai sendiri pengalaman berada di institusi yang berkaitan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET)," katanya kepada Media Selangor.
Menurut Muhammad Syawan, bengkel berkenaan menumpukan bidang automotif termasuk pengendalian bateri voltan tinggi, Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) dan Light Detection and Ranging (LiDAR).
Jelas beliau, program dua peringkat yang dijalankan setiap tahun di semua daerah itu lebih menumpukan kenderaan bawah kendalian syarikat Bermaz Auto Berhad.

Terdahulu, Muhammad Syawan menyaksikan sesi penyerahan sebuah kenderaan Mazda CX-8 bertema topografi Jugra kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang disempurkan oleh Ketua Kumpulan Selepas Jualan Bermaz Auto Dato' Shamsuddin Amran.








