Cuaca panas: Kerajaan Negeri beri amaran tegas pembakaran terbuka

15 Mei 2026, 2:00 AM
Cuaca panas: Kerajaan Negeri beri amaran tegas pembakaran terbuka

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerajaan Negeri memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka sepanjang Monsun Barat Daya susulan risiko jerebu dan ancaman kesihatan kepada rakyat.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata cuaca panas dan pembakaran terbuka boleh memburukkan pencemaran udara sekali gus menjejaskan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta pesakit jantung dan respiratori.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) memperhebat rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi termasuk tanah gambut dan tapak pelupusan sampah bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka.

“Tindakan kompaun dan pendakwaan boleh diambil mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan pembakaran terbuka,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan selain pemantauan kualiti udara dipertingkat sepanjang musim panas dan kering yang dijangka berlarutan hingga September depan.

Dalam masa sama, orang ramai diminta bekerjasama dengan segera melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 serta JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Jamaliah berkata Kerajaan Negeri turut menyalurkan maklumat berkaitan Indeks Pencemaran Udara (IPU) secara berkala bagi membantu rakyat mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka ketika jerebu dan memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengurangkan risiko kesan haba melampau.

“Mereka yang mengalami simptom seperti batuk, sesak nafas, serangan asma, sakit mata atau jangkitan paru-paru perlu segera mendapatkan rawatan jika keadaan bertambah teruk,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga meningkatkan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan termasuk pemantauan kes strok haba, dehidrasi dan masalah pernafasan.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Barat Daya bermula 14 Mei dan dijangka berterusan sehingga September dengan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.