Monsun Barat Daya: EXCO nasihat hadkan aktiviti luar elak strok haba

14 Mei 2026, 6:00 AM
Monsun Barat Daya: EXCO nasihat hadkan aktiviti luar elak strok haba

SHAH ALAM, 14 MEI: Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar susulan cuaca panas dan kering sepanjang Monsun Barat Daya yang dijangka bermula hari ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata langkah berjaga-jaga itu penting terutama kepada golongan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak, ibu hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik.

Menurutnya, golongan berisiko disaran meningkatkan pengambilan air kosong, memakai pakaian ringan dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan risiko kesihatan seperti strok haba dan dehidrasi.

“Mereka juga perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom seperti pening, keletihan melampau atau sesak nafas,” katanya kepada Media Selangor.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei dan berterusan sehingga September ini.

Menurut beliau sepanjang tempoh itu, kadar kelembapan udara yang rendah lazimnya akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

Beliau berkata keadaan itu akan menyebabkan negara menerima taburan hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding hari hujan.

Fenomena garis badai itu berpotensi berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah.

Dalam perkembangan sama, Jamaliah berkata, Beliau berkata Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga meningkatkan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan termasuk pemantauan kes strok haba, dehidrasi dan masalah pernafasan.

“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan JKNS bagi memastikan kapasiti perkhidmatan kesihatan berada pada tahap bersedia.

“Antara langkah yang diberi perhatian termasuk pemantauan kes penyakit berkaitan haba seperti strok haba, dehidrasi dan masalah pernafasan, khususnya melibatkan golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan individu berpenyakit kronik,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.