GRS 2.0 Hulu Langat: Isu banjir, hak milik tanah antara tumpuan sesi libat urus

13 Mei 2026, 1:00 PM
GRS 2.0 Hulu Langat: Isu banjir, hak milik tanah antara tumpuan sesi libat urus

AMPANG JAYA, 13 MEI: Isu banjir serta hak milik tanah menjadi antara tumpuan utama yang dibangkitkan penduduk dalam sesi libat urus sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2026 (GRS 2.0) peringkat daerah Hulu Langat, hari ini.

EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata beberapa isu tuntutan hak milik tanah yang dibangkitkan penduduk berjaya diselesaikan secara harmoni hasil campur tangan Kerajaan Negeri.

EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail bertemu media selepas DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan lawatan ke kilang kayu The Green Factory, Ampang Jaya sempena program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 daerah Hulu Langat pada 13 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Antara isu tumpuan sesi libat urus di kawasan situ adalah beberapa masalah penduduk berkaitan tuntutan hak milik tanah dan ia sebenarnya telahpun dapat disesaikan oleh pihak Kerajaan Negeri.

“Isu banjir ada juga disentuh dan pihak Kerajaan Negeri telahpun ambil maklum tentang perkara ini dan ia dalam proses bagaimana untuk mengatasi isu banjir yang ada di kawasan yang dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke The Green Factory di sini, sebuah kilang milik syarikat Bumiputera yang menghasilkan produk kayu dan perabot.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan menerima cenderahati sempena lawatan ke kilang kayu The Green Factory, Ampang Jaya sempena program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 di daerah Hulu Langat pada 13 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama isteri Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat serta mendengar taklimat mengenai operasi kilang berkenaan.

Kilang itu mengamalkan konsep sifar sisa serta pembuatan berasaskan ekonomi kitaran bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Pada sebelah pagi, Tengku Amir Shah turut meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau kawasan Air Terjun Sungai Gabai yang diwartakan sebagai kawasan Geopark Gombak-Hulu Langat.

Sebelum itu, Baginda berkenan melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua serta bersarapan bersama murid dan guru di kantin sekolah.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Nur Adeeba Ibrahim berkenan melihat produk yang terdapat di kilang Bahulu Classiq, Hulu Langat pada 13 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Baginda kemudian berangkat ke Kilang Bahulu Classiq di Kampung Jawa, Batu 18 dan menyaksikan penyerahan sumbangan RM20,000 bagi pembelian barangan perniagaan kepada pemilik Bahulu Classiq, Nur Adeeba Ibrahim.

Sebelum ini, Rizam berkata GRS 2.0 akan memperkenalkan projek angkat melibatkan pembinaan baharu, baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur dengan fokus kepada mengenal pasti kemudahan rosak serta menjamin keselamatan orang ramai.

GRS diperkenalkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan sistem kemasyarakatan di Selangor menerusi enam agenda utama termasuk karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan Pembentangan Sekolah Geopark oleh pelajar ketika program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Hulu Langat Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Hulu Langat pada 13 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam edisi pertama yang bermula Februari 2024, program itu menjelajah ke semua daerah bermula di Hulu Selangor sebelum berakhir di Gombak.

Bagi GRS 2.0, program bermula 5 Mei lalu di daerah Petaling dan diteruskan minggu ini di Hulu Langat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.