AMPANG JAYA, 13 MEI: Program Gagasan Rumpun Selangor 2026 (GRS 2.0) diteruskan ke daerah Sabak Bernam bulan depan dengan pelbagai pengisian berteraskan santunan rakyat.
Dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Jun, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata, program akan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
“Kita selesai dengan GRS 2.0 Hulu Langat yang berakhir hari ini. Pelbagai pengisian antaranya Tuanku melawat Ampang Look Out Point dan menginap di Moonkissed by The River semalam.
“Seterusnya hari ini, Tuanku berkenan melawat ke Sekolah Kebangsaan Dusun Tua dan Tuanku menyumbang makanan kepada semua pelajar untuk makan tengah hari di situ, seterusnya ke industri IKS bahulu Classiq dan ke projek angkat GRS di Sungai Gabai.
“Seterusnya libat urus di antara pihak Kerajaan Negeri bersama penduduk di sekitar Sungai Gabai kerana sebelum itu, Tuanku sudah pun melawat Sungai Gabai yang sebelum ini terkena bencana dan Tuanku setuju meluluskan untuk fasa satu pembaikan Sungai Gabai bernilai kira-kira RM1 juta,” katanya.

Beliau ditemui selepas lawatan ke The Green Factory di sini, sebuah kilang milik syarikat Bumiputera yang menghasilkan produk kayu dan perabot.
Terdahulu Tengku Amir Shah bersama isteri Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat dan mendengar taklimat mengenai operasi kilang berkenaan.
Baginda berdua turut berkenaan menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM20,000 daripada Kerajaan Negeri kepada syarikat itu untuk pembelian peralatan.
Kilang itu mengamalkan konsep sifar sisa dan ekonomi kitaran dalam proses pembuatan bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.
Sejak 2018, syarikat berkenaan memperoleh pensijilan Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC), pengiktirafan antarabangsa bagi penggunaan bahan daripada hutan yang diurus secara mampan.
Pensijilan itu turut memastikan rantaian bekalan hutan mematuhi piawaian ekologi, sosial dan etika yang ketat.
GRS diperkenalkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan sistem kemasyarakatan di Selangor menerusi enam agenda utama termasuk karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
Dalam edisi pertama yang bermula Februari 2024, program itu menjelajah ke semua daerah bermula di Hulu Selangor sebelum berakhir di Gombak.











