SHAH ALAM, 13 MEI: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis kokain seberat 3.3 kilogram bernilai hampir RM1.5 juta di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.
Rampasan kira-kira jam 8 malam itu dilakukan terhadap seorang lelaki warga Indonesia berusia 61 tahun yang tiba dari Freetown, Sierra Leone selepas melalui beberapa negara transit sebelum mendarat di Kuala Lumpur.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan dilakukan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggunakan mesin pengimbas sebelum menemukan imej mencurigakan pada beg tangan dan bagasi milik suspek.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan tujuh paket disyaki kokain yang disorokkan pada lapisan dalam beg tangan serta bahagian sisi bagasi,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semua barang rampasan diserahkan kepada Unit Penguatkuasaan KLIA untuk tindakan lanjut.
AKPS berkata pihaknya akan terus memperketat kawalan dan pemantauan di pintu masuk negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah serta memastikan keselamatan sempadan negara terus terpelihara.








