JOHOR BAHRU, 11 MEI: Dua sindiket pengedaran dadah tumpas susulan penahanan enam lelaki tempatan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM4.77 juta dalam operasi berasingan di daerah ini pada 7 dan 8 Mei lepas.
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata lima lelaki berusia 27 hingga 50 tahun termasuk ketua sindiket, ditahan dalam operasi pertama yang dilancarkan di tiga lokasi bermula 11 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Beliau berkata dalam serbuan di lokasi pertama di sebuah rumah di Bandar Baru Permas Jaya, dua individu ditahan bersama 20.47 kilogram (kg) disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 14,800 biji pil erimin 5, 1.44 kg serbuk ekstasi, 1,055 biji pil ekstasi dan 146 gram ketamin serta pelbagai peralatan membungkus dadah.
Menurutnya, seorang lagi ditahan dalam serbuan kedua di Bandar Seri Alam tanpa sebarang rampasan, manakala serbuan ketiga di tempat letak kenderaan di Permas Jaya pula membawa kepada penahanan dua lagi individu dan rampasan 4.40 gram ketamin.
“Secara keseluruhan nilai pasaran dadah yang dirampas sekitar RM3.65 juta. Sindiket dipercayai aktif sejak Mac lepas dan menjadikan rumah jenis pangsapuri berkawal dan berpagar disewa, sebagai tempat menyimpan dan membungkus semula dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini hari ini.
Turut dirampas empat buah kereta, sebuah motosikal serta wang tunai RM7,750, 308 dolar Singapura, dua bentuk cincin, sebentuk loket dan seutas rantai emas.
Hoo berkata ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan seorang positif ketamin, dengan kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 8 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu dalam operasi kedua, beliau berkata seorang lelaki berusia 21 tahun yang dipercayai menggerakkan sindiket pengedaran dadah secara bersendiri pula ditahan di sebuah rumah di Taman Perling, pada 8 Mei.
Menurutnya, dadah yang dirampas terdiri daripada 23 botol plastik dan 21 katrij berisi kira-kira 11.54 liter disyaki cecair ketamin, 3.61 kg serbuk MDMA, 150 gram serbuk ekstasi, 40 pil ekstasi, 19.30 gram ketamin selain peralatan membungkus bahan terlarang itu dengan kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.12 juta.
“Suspek yang positif ketamin dan mempunyai rekod kesalahan lampau, dipercayai aktif mengedar dadah sejak Januari lepas dan menjadikan rumah teres sebagai tempat menyimpan dan membungkus semula dadah sebelum diedar untuk pasaran tempatan,” katanya.
Suspek direman selama tujuh hari bermula 9 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA








