SHAH ALAM, 12 MEI: Seorang penuntut lelaki sebuah politeknik di Kedah ditemukan lemas di kawasan rekreasi Sungai Buluh, Sedim, Karangan, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Wan Muhammad Adam Wan Mohd Hazan Amri, 20, yang beralamat di Presint 15, Putrajaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, pada jam 4.01 petang tadi, anggota di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuim menerima panggilan memaklumkan terdapat orang lemas di Sungai Sedim, lapor Harian Metro.
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga lagi rakannya yang masih menuntut di sebuah politeknik pergi ke kawasan rekreasi berkenaan pada jam 3 petang tadi untuk mandi.
"Ketika mangsa sedang mandi bersama dua rakannya, mereka hanyut dibawa arus dan mangsa tidak dapat di selamatkan sebelum tenggelam dalam air. Dua rakannya pula berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai," katanya.
Tengku Mohd Faisal berkata, rakan mangsa turun semula ke dalam sungai dan berjaya menarik mangsa yang lemas ke tebing sungai.
"Mayat mangsa ditemui pada jarak lebih kurang 10 meter dari lokasi awal. Mereka menaikkan mangsa sendiri sebelum meminta bantuan penduduk kampung untuk menghubungi polis. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.








