SHAH ALAM, 12 MEI: Remaja lelaki yang ditahan reman berhubung kes kematian penuntut kolej di Ketereh, Kelantan dijangka didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan seorang suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor BH Online.
Sementara itu, seorang lagi suspek yang sebelum ini turut direman dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kejadian 1 Mei lalu, mayat mangsa berusia 19 tahun ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badan.
Mohd Yusoff sebelum ini dilaporkan berkata mangsa ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sebelum identitinya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Polis sebelum ini turut menahan reman empat individu termasuk dua warga emas yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek bagi membantu siasatan, namun kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.








