SHAH ALAM, 11 MEI: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pemotong kayu ditahan reman seminggu selepas disyaki mendera anak tirinya berusia lima tahun dalam kejadian di Bukit Besi, Dungun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Menurut beliau, penahanan dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa berusia 30 tahun di Balai Polis Bukit Besi semalam.
“Berdasarkan laporan dibuat, ibu mangsa menyedari terdapat kesan melecur pada jari anaknya yang dipercayai berlaku pada 7 April lalu,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Jumaidy berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan pemetik api untuk membakar jari manis kiri mangsa kerana mendakwa kanak-kanak itu nakal.
Menurutnya, perkara itu turut diakui suspek ketika siasatan dijalankan polis.
“Ibu mangsa turut memaklumkan anaknya pernah mengadu dipijak pada perut serta dicekik suspek sama, namun tiada saksi melihat kejadian itu,” katanya lagi.
Beliau berkata susulan laporan diterima, polis menahan lelaki terbabit pada hari sama untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan luka yang sudah sembuh pada jari manis kiri mangsa dan kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.
“Polis masih menunggu laporan awal perubatan berhubung kecederaan dialami mangsa,” katanya.








