SHAH ALAM, 11 MEI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan 26 notis kesalahan dan 20 notis pemberitahuan terhadap beberapa premis yang didapati melanggar peraturan dalam operasi penguatkuasaan di kawasan perindustrian Telok Panglima Garang.
MPKL menerusi Facebook memaklumkan operasi selama dua hari bermula 7 Mei itu mengesan pelbagai kesalahan termasuk perniagaan tanpa lesen, aktiviti pembakaran terbuka, longgokan sampah, kerja tanah serta pembinaan struktur tanpa kelulusan dan kebenaran merancang.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, notis yang dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 serta Undang-Undang Kecil MPKL.
“Arahan pembersihan kawasan dan pematuhan terhadap kelulusan turut diberikan kepada premis terlibat.
“MPKL akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang dan menjejaskan kesejahteraan awam,” tegasnya.

Operasi itu turut disertai Ahli Majlis Zon 3 MPKL bersama beberapa jabatan termasuk Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Pembangunan, Jabatan Kejuruteraan serta Unit Perundangan MPKL.









