Azam Baki akui ramai musuh, kurang kawan sepanjang terajui SPRM

11 Mei 2026, 1:41 AM
Azam Baki akui ramai musuh, kurang kawan sepanjang terajui SPRM
Azam Baki akui ramai musuh, kurang kawan sepanjang terajui SPRM
Azam Baki akui ramai musuh, kurang kawan sepanjang terajui SPRM

SHAH ALAM, 11 MEI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengakui prinsip tegasnya sepanjang empat dekad dalam perkhidmatan menyebabkan beliau mempunyai lebih ramai musuh berbanding rakan.

Azam yang bakal menamatkan perkhidmatan esok berkata, beliau tidak pernah memilih jalan selamat ketika mengendalikan tugas termasuk dalam siasatan kes berprofil tinggi membabitkan tokoh politik negara.

“Saya akui tidak mempunyai kawan-kawan sejak saya berkhidmat dalam BPR (Badan Pencegah Rasuah), seterusnya SPRM malah bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM juga membuatkan saya mempunyai lebih ramai musuh.

“Ketika berkhidmat saya cenderung untuk tidak melakukan apa-apa yang selamat kerana merasakan untuk menjadi pemimpin sedemikian, ia seperti tidak melakukan apa-apa,” katanya baru-baru ini, lapor Berita Harian.

Menurut beliau, pendekatan tegas itu diterjemahkan menerusi tindakan terhadap beberapa kes rasuah berprofil tinggi termasuk membabitkan dua bekas perdana menteri.

Antara kes yang dirujuk ialah pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa serta kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Azam berkata, tindakan tegas SPRM dalam menyiasat tokoh politik tetap menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

“Dalam sejarah di Malaysia, SPRM menyiasat bekas perdana menteri dan ada di antara mereka masih berkhidmat.

“Ramai yang tidak berpuas hati dengan pendekatan siasatan yang dijalankan kerana prinsip saya jelas, siapa yang bersalah perlu didakwa tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan siasatan rasuah kini tidak lagi boleh bergantung kepada aduan awam semata-mata, sebaliknya memerlukan risikan, rangkaian maklumat dalaman dan kerjasama strategik antara agensi.

Katanya, jenayah rasuah lebih sukar dikesan kerana kebiasaannya melibatkan kumpulan kecil yang saling melindungi selain boleh berlarutan bertahun-tahun tanpa dikesan.

Azam juga menggesa penglibatan lebih ramai profesional daripada pelbagai bidang seperti perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan perundangan bagi memperkukuh siasatan rasuah negara.

Beliau mula menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya dan bakal digantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman mulai Rabu ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.