Persaraan bukan titik noktah sebaliknya satu penghijrahan, permulaan baharu

5 Mei 2026, 2:04 PM
Persaraan bukan titik noktah sebaliknya satu penghijrahan, permulaan baharu

SHAH ALAM, 5 MEI: Persaraan bukanlah titik noktah dalam kehidupan, sebaliknya suatu penghijrahan dan permulaan baharu, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau yang akan menamatkan perkhidmatan dalam tempoh kira-kira seminggu lagi menegaskan pesara kerajaan merupakan aset penting negara dan bukan sekadar meninggalkan legasi peribadi semata-mata.

Menurutnya, jasa dan sumbangan golongan pesara akan terus dikenang walaupun mereka tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam.

“Oleh itu, jadikan kehidupan baharu yang bakal dilalui ini sebagai satu kehidupan yang lebih bermakna. Teruskan kekal aktif melalui gaya hidup sihat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi SPRM 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, hari ini, lapor Berita Harian.

Majlis bertemakan “Integriti Dijunjung, Budi Disanjung” itu diadakan sebagai tanda penghargaan tertinggi kepada warga kerja yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga nama baik organisasi dan kedaulatan negara.

Azam turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh, termasuk aspek mental dan emosi bagi memastikan kesejahteraan hidup selepas bersara.

“Selain kecergasan fizikal, penjagaan kesihatan mental dan emosi amat penting untuk memastikan kehidupan yang sejahtera selepas bersara.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan atas segala khidmat bakti yang diberikan selama ini kepada SPRM,” katanya.

Dalam majlis sama, wakil pesara SPRM, Datuk Zainol Darus turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi serta seluruh warga SPRM atas bimbingan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Kami akan terus menjunjung nilai integriti dalam kehidupan seharian dan berusaha menjadi contoh yang baik serta terus berbudi kepada masyarakat,” katanya.

Seramai 36 daripada 51 pesara dan bakal pesara diraikan dalam majlis tersebut, selain penghormatan diberikan kepada lima warga kerja SPRM yang meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan pada 2025 dan 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.