Inisiatif e-skuter di SS15 bantu kurangkan penggunaan kereta

11 Mei 2026, 6:00 AM
Inisiatif e-skuter di SS15 bantu kurangkan penggunaan kereta

SUBANG JAYA, 11 MEI: Penggunaan e-skuter di SS15 dilihat sebagai alternatif berkesan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, sekali gus menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan peningkatan kos bahan api selain cabaran “first mile” dan “last mile” dihadapi pengguna untuk ke stesen transit aliran ringan (LRT).

“Jarak antara rumah dan stesen LRT yang agak jauh menjadi cabaran sehingga menyebabkan kebanyakan pengguna masih memerlukan kenderaan persendirian untuk bergerak ke stesen pengangkutan awam.

“Justeru, pengenalan projek rintis mikromobiliti di SS15 ini merupakan sebahagian daripada kajian bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan mengumpulkan data dan maklum balas penduduk setempat bagi menilai keberkesanannya,” katanya kepada Media Selangor.

Seorang pelajar sedang mencuba e-skuter ketika Majlis Perasmian Sandbox Mikromobiliti di SS15 Subang Jaya pada 18 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurut Michelle, inisiatif itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ratusan pengguna memanfaatkan e-skuter setiap minggu, khususnya di kawasan yang menempatkan tiga institusi pengajian tinggi (IPT) serta LRT sebagai pengangkutan utama.

Beliau berkata pihaknya kini meneliti keperluan menaik taraf laluan sedia ada bagi memastikan keselamatan pengguna terus terjamin seiring peningkatan penggunaan mikromobiliti di kawasan itu.

Pada 18 Mac lalu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan projek rintis mikromobiliti di SS15 bagi menilai aspek keselamatan, kadar penggunaan serta keperluan peraturan di kawasan komersial dan pendidikan yang sibuk.

Inisiatif yang berlangsung sehingga 31 Januari 2027 itu dilengkapi zon parkir khas, infrastruktur keselamatan, had kelajuan serta teknologi pagar maya (geofencing).

Pengguna juga perlu mendaftar melalui aplikasi Beam Mobility sebelum menggunakan e-skuter.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.