Selangor tanggung sepenuhnya kos SUKMA 2026, tiada peruntukan persekutuan

10 Mei 2026, 4:04 AM
Selangor tanggung sepenuhnya kos SUKMA 2026, tiada peruntukan persekutuan
Selangor tanggung sepenuhnya kos SUKMA 2026, tiada peruntukan persekutuan

SHAH ALAM, 10 MEI: Kerajaan Selangor menanggung sepenuhnya kos penganjuran SUKMA 2026 dan PARA SUKMA 2026 tanpa sebarang peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata ketika ini Kerajaan Negeri bergantung sepenuhnya kepada dana sendiri bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya berkenaan.

“Kita juga sudah menerima surat makluman daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memaklumkan tiada peruntukan disalurkan kepada SUKMA Selangor.

“Justeru, daripada RM100 juta peruntukan asal yang disediakan, kita kurangkan kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta, dengan fokus utama kepada penganjuran acara sukan serta kebajikan atlet,” katanya,

Beliau ditemui media selepas program Larian Obor SUKMA ke-22 & PARA SUKMA 2026 siri pertama peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini hari ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas larian obor Sukma XXII dan Para Sukma Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mohd Najwan berkata lokasi perasmian yang sebelum ini dirancang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sederhana.

"Kita tidak mahu melaksanakan majlis perasmian yang kelihatan mewah dan berbelanja tinggi. Mungkin tiada bunga api dan elemen-elemen kemewahan lain kerana kita mahu tumpukan kepada atlet-atlet yang akan membawa cabaran negeri masing-masing.

"Kita menyahut titah Tuanku Sultan Selangor supaya kawalan perbelanjaan diberi perhatian. Majlis perasmian dan penutupan SUKMA 2026 tetap akan dilaksanakan, namun pada skala lebih kecil dan sederhana," jelasnya.

Dalam masa sama, Mohd Najwan berkata beberapa langkah tambahan turut diambil bagi mengurangkan kos operasi termasuk membenarkan setiap kontinjen negeri mencetak sendiri kad akreditasi atlet dan pegawai.

"Pegawai tambahan kontinjen di luar kuota ditetapkan pula akan dikenakan caj RM100 seorang. Jumlah sukarelawan SUKMA juga dikurangkan daripada sasaran asal hampir 30,000 orang kepada sekitar 3,000 hingga 5,000 sahaja," ujarnya.

Acara renang berirama digugurkan

Sementara itu, beliau berkata acara renang berirama digugurkan daripada temasya SUKMA selepas gagal memenuhi syarat minimum penyertaan sekurang-kurangnya enam negeri.

"Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas acara renang berirama tidak mendapat penyertaan mencukupi daripada kontinjen negeri," tambahnya.

Beliau berkata, sebelum ini sukan berkenaan melibatkan lima acara dengan lima pingat dipertandingkan, sekali gus menyebabkan jumlah keseluruhan acara SUKMA dikurangkan.

"Pada asalnya kita ada 474 acara, namun selepas pengguguran renang berirama yang membabitkan lima acara dan lima pingat, jumlah itu dikurangkan kepada 469 acara," katanya.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA bermula 5 hingga 14 September depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.