Ketika kebanyakan remaja terkial-kial mencari hala tuju kehidupan, Nisreen Hannah Mohd Hafezzullah berkeringat mengayuh basikal demi mengejar impian.
Bermula sebagai pelumba basikal BMX sejak 2019 hingga berusia 13 tahun dan sempat mengecap kejayaan sebagai johan kebangsaan, Hannah kini memberi tumpuan dalam acara di lebuh raya dan trek.
Kini pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11, Shah Alam yang berusia 16 tahun giat menjalani persiapan untuk menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada Ogos nanti.
Beliau yang mesra disapa sebagai Hannah mengakui sistem jadual yang teratur banyak membantu dirinya untuk mengimbangi tuntutan akademik dan latihan.
Katanya, seronok dapat "jalan jauh-jauh” saat berlatih atau menyertai pelbagai perlumbaan, minat itu perlahan-lahan berkembang menjadi cita-cita - mengharumkan nama Selangor dan Malaysia di persada dunia.
“Saya duduk sekolah sukan, jadi ada jadual tetap. Saya ikut jadual yang ditetapkan. Saya cuba bahagi masa belajar dengan latihan. Kalau penat atau tertekan, saya cuba alihkan tumpuan, borak-borak dengan kawan.
“Impian saya, insya-Allah suatu hari nanti nak main (bertanding dalam sukan) Olimpik,” katanya kepada Media Selangor.

Beberapa kejayaan yang meraih Hannah dalam kejohanan tempatan termasuk muncul juara acara menjadi pemangkin untuknya terus tekal dan lebih bersemangat untuk meningkatkan lagi prestasi sedia ada.
Hannah juga yakin masa depan sukan berbasikal negara berada pada landasan positif hasil sokongan pelbagai pihak dan program pembangunan.
“Saya rasa masa depan sukan basikal agak cerah sebab ada banyak program dan sokongan yang baik. Saya harap suatu hari nanti boleh sertai mereka dan pergi lebih jauh,” katanya yang menjadikan pelumba terkenal negara Datuk Azizulhasni Awang sebagai idola.
Berkat disiplin tinggi, bimbingan jurulatih berpengalaman dan sokongan padu keluarga, kayuhan Hannah bukan sekadar menamatkan perlumbaan tetapi memecut menuju impian.

Bina ketahanan
Di mata Ketua Jurulatih Berbasikal Selangor, Muhammad Mahazir Ahmad pula, Hannah berada dalam fasa pembangunan fizikal dan pengukuhan prestasi bagi menghadapi cabaran lebih besar.
Beliau percaya atlet muda berbakat itu memiliki kelebihan ketara dalam acara lebuh raya dan menjangka Hannah turut menyertai acara lain khususnya kriterium dan ujian masa berpasukan.
“Hannah akan terlibat dalam dua acara iaitu lebuh raya dan endurance (jarak jauh). Kelebihan dia memang lebuh raya. Kami dalam fasa untuk tambah kekuatan dan ketahanan Hannah,” katanya yang mula berkhidmat bersama pasukan Selangor sejak tahun 2023.

Pada masa ini, barisan kejurulatihan giat memantau perkembangan prestasi Hannah sejak lebih setahun lalu dan terus mengenal pasti kelemahan bagi memperkemas program latihan menjelang SUKMA.
Selain kepakaran pasukan kejurulatihan, sokongan keluarga juga tidak kurang pentingnya. Bahkan, ia sebenarnya tunjang dalam membina personaliti atlet, seterusnya pencetus semangat.
Berbangga dengan keupayaan anaknya meraih beberapa kejayaan dalam pelbagai kejohanan sebelum ini, Muhammad Hafezullah Abu Samah percaya perjalanan karier anak sulungnya itu masih jauh.
“Ini satu permulaan baik untuk Hannah. Saya amat bangga dengan apa yang dia tunjukkan. Sukan kompetitif ini mendisiplinkan anak-anak dan meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.

Beliau juga menaruh harapan agar Hannah bukan sahaja cemerlang pada peringkat negeri, bahkan berpeluang menjulang nama negara ke pentas antarabangsa suatu hari kelak. Lebih-lebih lagi, Majlis Sukan Negara (MSN) ada banyak inisiatif membangunkan sukan berbasikal tempatan.
“Saya rasa masa depan sukan basikal agak cerah sebab ada program dan sokongan yang baik. Saya harap satu hari nanti Hannah boleh sertai mereka dan pergi lebih jauh,” katanya.
PENCAPAIAN
Juara stratch dalam Junior Cycling Malaysia 2025
Juara kriterium dalam Jelajah Negeri Sembilan 2025
Tempat ketiga perlumbaan mata (point race) dalam Trek Kebangsaan Remaja 2025
Johan Perlumbaan BMX pada 2022 dan 2023
Tempat ketiga Thai Cup 2013








