SHAH ALAM, 9 MEI: Seorang murid lelaki berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menghadiri perhimpunan di sebuah sekolah di Kapar, Klang pada pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata mangsa yang merupakan murid tahun enam dilaporkan pengsan kira-kira jam 8.30 pagi.
"Mangsa dilaporkan pengsan kira-kira jam 8.30 pagi ketika perhimpunan di sekolah terbabit.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan susulan bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital," katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.
Difahamkan, mangsa rebah selepas menyertai aktiviti bacaan Yasin yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.
Menurut Vijaya, hasil bedah siasat tidak menemukan sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian tersebut.
"Setakat ini punca kematian belum dapat disahkan (pending laboratory investigations).
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.








