SHAH ALAM, 9 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menangani 10 aduan susulan hujan lebat berterusan di sekitar kawasan pentadbirannya, semalam.
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan aduan melibatkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada keselamatan dan persekitaran penduduk.
Menurutnya, tindakan segera dilakukan bagi memastikan keselamatan awam, kelancaran persekitaran serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
“Kesemua aduan yang diterima telah selesai diambil tindakan oleh pihak jabatan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membuat aduan kecemasan atau memerlukan bantuan boleh menghubungi Skuad PANTAS MPAJ di talian 03-42857333.
Beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat semalam, susulan hujan lebat berterusan.
Berdasarkan perkongsian orang awam di laman sosial, insiden banjir kilat dikesan melanda beberapa kawasan antaranya di Ampang dan Sungai Besi.
Di Selangor, kawasan terjejas banjir kilat termasuk Petaling Jaya, Shah Alam, Klang dan Gombak dengan beberapa kejadian pokok tumbang juga dilaporkan.










