MPAJ seru pemilik harta bayar cukai, kutipan susut RM3.6 juta

5 Mei 2026, 5:00 AM
MPAJ seru pemilik harta bayar cukai, kutipan susut RM3.6 juta

SHAH ALAM, 5 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merekodkan penurunan kutipan cukai taksiran sebanyak RM3.6 juta berbanding tahun lalu, sekali gus menyeru pemilik harta menjelaskan bayaran bagi mengelakkan tindakan sitaan.

Menurut MPAJ, penurunan itu melibatkan kutipan semasa sebanyak RM3.2 juta atau 7.33 peratus, manakala kutipan tunggakan susut RM414,000 atau 8.24 peratus bagi tempoh sama antara 2025 dan 2026.

“Secara keseluruhannya, kutipan menurun sebanyak RM3.6 juta dengan kadar penurunan sebanyak 7.42 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPAJ memaklumkan jumlah cukai taksiran yang disasarkan bagi tempoh Januari hingga Disember 2026 adalah sebanyak RM103.5 juta, dengan tunggakan mencecah RM20.1 juta.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu, kutipan semasa berdasarkan sasaran anggaran belanjawan mencapai RM41 juta (79.38 peratus) manakala kutipan tunggakan sebanyak RM4.6 juta (22.92 peratus).

“Semakan dan bayaran cukai taksiran MPAJ boleh dibuat melalui pelbagai cara antaranya melalui akaun iComm MPAJ, JomPay atau di kaunter dan kiosk Aras 4, Menara MPAJ,” katanya.

Sekitar sesi cabutan pemenang bertuah bagi Cabutan Bertuah ‘Jom Bayar Cukai Taksiran MPAJ’ Tahun 2026 yang dilaksanakan Timbalan Yang Dipertuanya, Ts. Hasrolnizam Shaari pada 30 April 2026. Foto MPAJ

Dalam pada itu, MPAJ turut meneruskan kempen Cabutan Bertuah ‘Jom Bayar Cukai Taksiran MPAJ’ 2026 sebagai galakan kepada pembayar cukai yang komited.

Seramai 40 pemenang dipilih dalam cabutan yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts Hasrolnizam Shaari pada 30 April lalu.

“Cabutan bertuah kali ini menawarkan 40 hadiah menarik antaranya skuter, mesin pengering baju, komputer riba, kamera digital, basikal lipat, kerusi urut dan peranti pintar termasuk hadiah utama sebuah kereta elektrik.

“Kesemua hadiah yang ditawarkan bernilai hampir RM200,000,” katanya.

Sebanyak 4,433 akaun cukai layak dipilih selepas menjelaskan bayaran bagi tempoh setahun sebelum 28 Februari lalu, dengan jumlah kutipan daripada kumpulan itu sebanyak RM4,567,290.92.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.