SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar, meluangkan masa menyantuni pelajar cemerlang SPM, Muhammad Azrul Azmi di Pangsapuri Selaseh Indah.
Azrul yang mempunyai autisme ringan (mild autism) dan ADHD berjaya meraih 11A serta menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pencapaian itu membuktikan setiap individu mempunyai potensi untuk berjaya dengan sokongan dan peluang yang sewajarnya.
"Walaupun beliau mempunyai ‘mild autism’ dan ADHD, Azrul berjaya meraih keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan SPM.
"Satu pencapaian yang cukup membanggakan buat keluarga, guru-guru dan komuniti," katanya menerusi Facebook.
Beliau turut memuji semangat Azrul yang bercita-cita menceburi bidang keselamatan siber serta menganggapnya sebagai inspirasi kepada anak muda lain.

"Saya amat tersentuh mendengar cita-citanya untuk menceburi bidang keselamatan siber (cybersecurity), satu bidang yang semakin penting dalam dunia hari ini.
"Semangat, disiplin dan kesungguhannya wajar dijadikan inspirasi kepada anak-anak muda lain bahawa setiap insan mempunyai potensi tersendiri untuk berjaya.
"Tahniah Azrul. Terus melangkah ke hadapan dan kejar cita-cita setinggi mungkin," katanya.









