SHAH ALAM, 4 MEI: Dato’ Menteri Besar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja bagi membendung perbuatan itu daripada terus berleluasa.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gesaan itu dibuat susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab semakin berani menghina institusi diraja sejak kebelakangan ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan.
“Tapi manusia ini kadang-kadang di luar kerangka jadi saya minta pihak polis untuk ambil tindakan sebab ia membenarkan langkah kerajaan supaya mengambil tindakan berkait 3R (kaum, agama, institusi diraja) daripada awal lagi.
“Ini selalu dikritik oleh pembangkang sebelum ini (yang mengatakan) seolah-olah ingin menutup kebebasan bersuara tetapi kesannya saya lihat sekarang begitu luar biasa dan harus ditangani,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri EXCO Sumber Manusia V Papparaidu, di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Amirudin menambah, institusi diraja adalah simbol penyatuan rakyat yang perlu dihormati serta dilindungi dan tidak seharusnya menjadi bahan cercaan awam.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang mengambil tindakan segera menahan individu terlibat dalam penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.
“Saya ucap terima kasih kepada polis kerana ambil tindakan dengan segera dan dapat kesan, dan harap diambil tindakan yang keras kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Semalam, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Penahanan lelaki itu dibuat kira-kira jam 7.10 malam oleh anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sebelum ini, polis Selangor mengesahkan menerima 280 laporan dari seluruh negara berhubung penularan karikatur berunsur penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dimuat naik melalui akaun Facebook pada 25 April lalu.








