SYDNEY, 9 MEI: Selangor mengutamakan syarikat berkemahiran tinggi untuk melabur dalam pembangunan pusat data baharu di negeri ini.
Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pembangunan itu turut ditumpukan di kawasan tertentu bagi memudahkan penyediaan infrastruktur serta memenuhi keperluan operasi pusat data.
Jelas Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop, beberapa syarat ditetapkan kepada syarikat yang mahu melabur di Selangor berdasarkan keupayaan negeri itu dari segi infrastruktur telekomunikasi, bekalan air dan tenaga.
“Kita membenarkan syarikat datang ke Selangor untuk melabur, namun berdasarkan kekuatan dimiliki negeri ini terutama aspek telekomunikasi, air dan tenaga, beberapa syarat ditetapkan.
“Kerajaan Negeri turut mengutamakan syarikat berkemahiran tinggi selain memastikan perancangan pembangunan tertumpu di kawasan tertentu supaya Air Selangor, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan syarikat telekomunikasi dapat mengambil tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi Dialog Masa Depan Selangor yang disertai lebih 140 pelajar sempena Konvensyen Mahasiswa Selangor (KOMSEL) Luar Negara di Park Royal Darling Harbour, Sydney, semalam.
Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan Selangor bersedia menerima pelaburan baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) terutama melalui pembangunan pesat pusat data serta pengukuhan infrastruktur digital yang menyeluruh.
Pembangunan serta pelaburan AI dan pusat data tertumpu di beberapa lokasi strategik seperti Sepang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri daripada segi infrastruktur selain kedudukan strategik.
Belanjawan Selangor 2026 yang dibentang Dato' Menteri Besar pada 15 November menetapkan sasaran 30 peratus kandungan tempatan dalam pembangunan industri pusat data sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam sektor berimpak tinggi itu.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata komponen kandungan tempatan tersebut merangkumi sistem pelayanan, rangkaian serta sistem kecekapan tenaga.










