Guru adalah jurutera adab era digital 

16 Mei 2026, 4:15 AM
Guru adalah jurutera adab era digital 

Sambutan Hari Guru setiap tahun bukan sekadar upacara tradisi untuk menghargai jasa pendidik, tetapi merupakan detik renungan tentang sejauh mana peranan guru berevolusi mengikut peredaran zaman.

Dalam keriuhan transformasi digital yang melanda dunia pendidikan hari ini, timbul satu persoalan besar: Di manakah kedudukan "adab" dan "jati diri" apabila skrin peranti mula mengambil alih ruang interaksi antara guru dan murid?

Guru sebagai arkitek nilai 

Jika dahulu guru dilihat sebagai satu-satunya sumber rujukan ilmu, kini maklumat hanya berada di hujung jari. Murid boleh mempelajari sejarah melalui video pendek atau memahami teori sains menerusi simulasi digital.

Namun, satu perkara yang tidak mampu diberikan oleh teknologi ialah sentuhan 'tarbiah' iaitu proses membentuk jiwa dan akhlak.

Sebagai pendidik yang telah berkhidmat lebih 15 tahun, saya melihat perubahan tingkah laku murid yang semakin kompleks.

Dalam dunia tanpa sempadan, ancaman bukan lagi sekadar pengaruh fizikal, tetapi serangan ideologi dan pencairan budaya yang berlaku secara halus di alam maya.

Di sinilah letaknya peranan guru sebagai "jurutera adab". Guru bukan lagi sekadar mengajar murid untuk lulus peperiksaan, tetapi membina "perisai dalaman" agar murid mampu membezakan antara kebenaran dan kepalsuan di tengah lambakan maklumat.

Estetika Islam dan jati diri bangsa 

Pendidikan bukan sekadar mengisi minda dengan fakta, tetapi menghias jiwa dengan estetika. Dalam konteks Pendidikan Islam, keindahan itu terpancar melalui adab.

Melalui kajian saya terhadap estetika Islam, saya dapati bahawa setiap elemen budaya daripada kesantunan berbudi bahasa, ketertiban dalam berpakaian seperti Baju Melayu, sehinggalah kepada penghayatan seni khat semuanya adalah manifestasi kepada jati diri yang kukuh.

Hari Guru tahun ini seharusnya menjadi momentum untuk kita memartabatkan semula nilai kearifan tempatan.

Guru perlu bijak mengintegrasikan nilai tradisional ini ke dalam medium moden. Murid perlu dididik bahawa kehebatan menggunakan teknologi tanpa landasan adab hanya akan melahirkan generasi yang pintar akal tetapi tempang peribadi.

Cabaran menjadi murabbi era moden 

Menjadi guru di era digital menuntut kesabaran yang luar biasa. Guru hari ini berdepan cabaran untuk bersaing dengan tarikan kandungan hiburan yang lebih memukau perhatian murid.

Guru perlu "celik digital" bukan untuk menjadi penghibur, tetapi untuk menjadi murabbi yang relevan.

Apabila guru menggunakan video interaktif atau aplikasi digital, guru sebenarnya sedang meruntuhkan tembok kebosanan yang sering dikaitkan dengan subjek agama.

Namun, dalam keghairahan mengejar inovasi, kita tidak boleh melupakan "roh" pendidikan. Teknologi hanyalah alat, manakala guru adalah pengemudinya. Tanpa bimbingan guru yang ikhlas, teknologi boleh menjadi alat yang merosakkan.

Masa depan berpaksikan adab 

Matlamat akhir pendidikan bukan sekadar melahirkan tenaga kerja untuk pasaran ekonomi, tetapi membentuk insan yang sejahtera.

Guru mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan murid-murid tidak hilang punca di tengah arus globalisasi. Kita mahu melahirkan murid yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi mempunyai kecerdasan spiritual yang tinggi.

Selamat Hari Guru kepada semua pendidik yang tidak jemu menabur bakti. Biarlah teknologi terus berkembang, namun adab tetap dijulang.

Sharifah Yun Othman ialah pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.