SHAH ALAM, 7 MEI: Dato’ Menteri Besar mahu kaedah pelaksanaan program di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dipermudah bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan tidak membebankan rakyat yang memerlukan.
Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan langkah itu penting supaya golongan penerima termasuk petani, pesawah, penerima baucar serta subsidi pengangkutan awam dapat meneruskan kehidupan harian tanpa berdepan prosedur yang rumit.
Menurutnya, kecekapan pelaksanaan di peringkat pentadbiran negeri dan daerah turut menjadi faktor penting bagi memastikan dasar kerajaan berjalan lancar tanpa gangguan sistem.

“Pengalaman sewaktu pandemik Covid-19 amat penting dan boleh dimanfaatkan iaitu pendekatan keseluruhan kerajaan dan masyarakat,” katanya di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Krisis Bekalan Global Negeri Selangor yang turut melibatkan pimpinan pentadbiran negeri.
Mesyuarat itu meneliti beberapa perkara termasuk keadaan semasa bekalan barangan asas serta kesiapsiagaan pelaksanaan program di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dijadual bermula Jun ini.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri tidak boleh bersikap terlalu selesa kerana situasi global yang berpanjangan berpotensi memberi tekanan lebih besar kepada ekonomi, inflasi makanan, kos logistik dan kesejahteraan rakyat sekiranya tidak ditangani secara bersedia dan berstrategi.
“Meskipun tanda-tanda kedamaian di Asia Barat dapat dilihat, itu tidak bermaksud keadaan akan kembali sempurna dalam tempoh sehari dua.
“Sebaliknya, kita perlu membuat persediaan selama sekurang-kurangnya setahun dengan cabaran besar yang bakal dilihat pada bulan Jun dan Julai,” katanya.
Beliau berkata sebahagian besar program di bawah pakej itu akan bermula seawal Jun bagi memastikan impaknya dapat dirasai rakyat lebih awal.
“Insya-Allah semua akan berjalan mengikut perancangan dan membantu mengurangkan impak krisis terhadap rakyat,” katanya.
Amirudin menegaskan sebagai enjin ekonomi negara, Selangor perlu kekal tangkas, responsif dan membina keupayaan bertahan bersama rakyat dalam menghadapi cabaran semasa.
Pada 16 April lalu, Kerajaan Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi mendepani kesan krisis geopolitik di Asia Barat.
Fasa pertama pakej itu merangkumi pengukuhan sekuriti makanan, pengurangan kos sara hidup, kawalan inflasi, peningkatan penggunaan pengangkutan awam serta bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan.











