SHAH ALAM, 6 MEI: Sebuah medan selera di Jalan 51A/223, Seksyen 51A, Petaling Jaya dilanda banjir kilat selepas hujan lebat melanda ibu negara petang tadi.
Dalam kejadian itu, paras air dilaporkan naik hampir 1.2 meter sehingga menenggelamkan beberapa kenderaan di kawasan parkir.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.15 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.
“Komander operasi melaporkan berlaku banjir kilat di kawasan Medan Selera Jaya dengan anggaran kedalaman air kira-kira empat kaki (1.2 meter).
“Terdapat beberapa kenderaan di kawasan parkir medan selera turut dilaporkan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tiada pemindahan mangsa dilakukan dalam kejadian berkenaan.
Katanya, paras air juga dilaporkan semakin surut ketika operasi dijalankan.








