KAJANG, 5 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam dua serbuan di Wangsa Maju dan Semenyih hari ini.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata pasukan serbuan turut menahan lapan lelaki berusia 30 hingga 40 tahun terdiri daripada seorang warga tempatan, dua lelaki India dan lima lelaki Indonesia.
Beliau berkata serbuan dijalankan berdasarkan hasil risikan selama dua minggu oleh anggota KPDN Kuala Lumpur terhadap sindiket itu yang disyaki melakukan kegiatan berkenaan sejak sebulan lalu.
"Hasil risikan mendapati sindiket yang berselindung di sebalik sebuah syarikat pembekal LPG bersubsidi ini memindahkan gas daripada tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong 50 kg bagi kegunaan industri dan menjualnya di sekitar ibu kota manakala premis di Semenyih digunakan untuk kegiatan decanting," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Sabri berkata KPDN telah mengenal pasti pemilik syarikat yang bertanggungjawab dan tindakan membatalkan lesen sebagai pembekal LPG dilaksanakan serta-merta.
Beliau berkata dalam serbuan yang turut melibatkan anggota daripada KPDN Selangor dan Batalion 19 Pasukan Gerakan Am Briged Tengah itu, sebanyak 570 tong LPG bersubsidi dengan berat keseluruhan 9,000 kg dirampas.
Beliau berkata keseluruhan rampasan dianggarkan RM185,000 dengan kerugian subsidi kerajaan hampir RM20,000.
Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.









