SHAH ALAM, 5 MEI: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) akan diperluas ke 30,000 lokasi tahun ini dengan tawaran harga barangan sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan program itu akan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mingguan bagi memastikan capaian lebih menyeluruh kepada rakyat.
"Tahun lalu, lebih 25,000 program dilaksanakan. Bagi tahun 2026, jumlah ini ditingkatkan kepada 30,000 program, melibatkan semua kawasan DUN dan diadakan setiap minggu," katanya pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Menurut beliau, program kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut diperluas ke kawasan luar bandar dan kampung bagi memastikan manfaatnya dirasai semua lapisan masyarakat.
Tambahnya, penyertaan peniaga kecil akan diberi keutamaan supaya manfaat program dapat dikongsi secara lebih meluas dan tidak tertumpu kepada syarikat besar.
"Langkah ini mungkin tidak menyelesaikan semua masalah, tetapi diharapkan dapat mengurangkan tekanan rakyat buat masa ini.
"Kerajaan akan terus meneliti dan mencari pendekatan baharu dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri," katanya.









