SHAH ALAM, 5 MEI: Selangor memulakan peralihan ke arah penggunaan kenderaan elektrik (EV) menerusi pelaksanaan projek perintis, sebagai langkah awal ke arah transformasi penuh pengangkutan awam dan kenderaan Kerajaan Negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedang melaksanakan inisiatif bukti konsep (proof of concept - POC) melibatkan bas elektrik dan lori pemampat sampah.
“Ini hanya sebahagian daripada peralihan. Kita sudah melaksanakan projek perintis bersama beberapa syarikat dan pihak berkuasa tempatan,” katanya selepas majlis pelancaran Pusat Kompetensi EV dan Sistem Solar Autotronics di sini, malam tadi.
Beliau turut memaklumkan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mula menggantikan bas awam dan lori pemampat sampah kepada versi elektrik.
Menurutnya, peralihan kepada EV perlu dilaksanakan secara praktikal dan mampan, dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan termasuk kemudahan pengecasan serta penjadualan operasi kenderaan sebelum diperluas.
“Jika semuanya berjalan lancar dari segi kecekapan kos dan kelestarian, kerana aspek itu sangat penting, maka kita boleh meneruskan peralihan secara lebih meluas.
“Kita melaksanakan POC supaya usaha ini dapat diuji. Jika berjaya, akan berlaku peralihan besar dalam pengangkutan awam dan kenderaan pengurusan sisa,” katanya.

Mengenai infrastruktur, Amirudin berkata kemudahan pengecasan sedang diintegrasikan dalam kalangan penyedia pengangkutan dan pemain logistik bagi memastikan penggunaan EV berjalan lancar.
Kerajaan Negeri juga akan terus berunding dengan PBT bagi menambah baik pendekatan termasuk menangani isu kesalinghubungan ‘first mile’ dan ‘last mile’ dalam sistem pengangkutan awam.
Pada 27 April lalu, EXCO Mobiliti Ng Sze Han memaklumkan Selangor akan menyeragamkan kelulusan antara PBT bagi mempercepat pelaksanaan kemudahan pengecasan EV.
Beliau berkata ketika ini terdapat 1,090 unit pengecas EV di seluruh negeri, dengan sasaran pemasangan sebanyak 4,000 unit menjelang 2030.
Kerajaan Negeri turut menetapkan keperluan penyediaan kemudahan pengecas EV dalam setiap pembangunan baharu.








