SHAH ALAM, 5 MEI: Selangor berjaya menarik kira-kira RM2 bilion pelaburan berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan giat memperluas infrastruktur pengecasan bagi menyokong peningkatan penggunaannya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha memperkasa EV merupakan antara teras utama peralihan negeri daripada kebergantungan kepada bahan api fosil, didorong faktor kelestarian dan keselamatan tenaga.
“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil. Selain isu pelepasan karbon, alam sekitar dan perubahan iklim, kita juga berdepan sumber yang semakin berkurangan saban tahun.
“Keseluruhan ekosistem akan berubah, daripada cara kenderaan dibina dan diselenggara kepada industri sokongan seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), alat ganti serta perkhidmatan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Autotronics Centre of Excellence, pusat kompetensi pertama negara bagi kenderaan elektrik dan Sistem Solar Fotovoltaik, semalam.

Amirudin turut menekankan keperluan membangunkan infrastruktur sokongan, tenaga kerja mahir, sistem penyelenggaraan serta keupayaan kitar semula bateri pada masa hadapan bagi memacu industri EV.
Usaha ini dijangka memperkukuh kapasiti industri EV di Selangor secara menyeluruh.
“Mungkin tidak sampai lima tahun, dalam tempoh tiga tahun sahaja, kita boleh melihat kenderaan ini merangkumi sekurang-kurangnya 50 peratus di jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM200,000 oleh Kerajaan Negeri bagi memperkukuh latihan dan pembangunan bakat.
Tambahnya, Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada pembangunan bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan industri berkenaan.
Autotronics Centre of Excellence, pusat kompetensi EV dan solar pertama yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, menyokong agenda ekonomi hijau negeri.
Pusat tersebut menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertauliah dalam penyelenggaraan EV dan sistem solar.
Ia telah melahirkan lebih 1,000 graduan EV dan 1,500 juruteknik menerusi program berkaitan industri.
Sementara itu, biasiswa bernilai RM100,000 oleh Yayasan Mahir Malaysia akan membiayai latihan golongan belia B40 dan M40 untuk menceburi bidang tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik.










