PETALING JAYA, 5 MEI: Gagasan Rumpun Selangor edisi kedua (GRS 2.0) membuka tirai jelajahnya hari ini di Petaling dengan fokus memperkukuh perpaduan masyarakat.
Program tersebut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz, yang memulakan lawatan ke projek angkat Denai Hijau @ Lengkok Golf SS7 di Kelana Jaya.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 400 meter serta kemudahan riadah, yang akan dinaik taraf sebagai koridor hijau untuk kegunaan dan keselesaan orang awam.
Pasangan diraja itu kemudiannya berangkat menyantuni rakyat melalui sesi santapan bersama di restoran Wak Dol Kitchen, Shah Alam sebelum meneruskan program perasmian bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor di Seksyen 17, Shah Alam.

Pada sebelah petang, Tengku Amir Shah dijadual berangkat ke lawatan industri ke syarikat Mamee Double-Decker (M) Sdn Bhd di Subang Jaya sebelum mengakhiri program di Balai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Lanchong.
Sementara itu, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata GRS 2.0 akan diteruskan ke Hulu Langat selama dua hari pada minggu depan, disusuli Sabak Bernam, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor dan berakhir di Klang pada Oktober.
“Untuk kali ini kita perkenalkan projek angkat di mana ia merupakan pilihan Tengku Amir Shah sendiri. Baginda mahu projek ini memberi manfaat kepada keperluan dan kemudahan infrastruktur rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Rizam memaklumkan GRS 2.0 bakal memperkenalkan projek angkat melibatkan pembinaan baharu, baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur, dengan tumpuan kepada mengenal pasti kemudahan rosak sekali gus menjamin keselamatan orang ramai.

GRS diperkenalkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan sistem kemasyarakatan di Selangor.
Pelaksanaannya merangkumi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
Dalam edisi pertama yang bermula Februari 2024, program itu telah menjelajah ke semua daerah, bermula di Hulu Selangor sebelum berakhir di Gombak.










