Raja Muda berkenan rasmi Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor

5 Mei 2026, 5:48 AM
Raja Muda berkenan rasmi Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor

SHAH ALAM, 5 MEI: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail serta Pengarah JKR Selangor Ir Shukri Ishak.

Baginda kemudian meluangkan masa lebih sejam meninjau fasiliti kompleks berkenaan termasuk parkir bumbung solar serta bengkel kenderaan di bawah Cawangan Kejuruteraan Mekanikal.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan mendengar penerangan wakil JKR Selangor ketika Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan Pelancaran Pembukaan Program Gagasan Rumpun Selangor Tahun 2026 di Seksyen 17,Shah Alam pada 5 Mei 2026. Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (lima, kiri) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor Ir Shukri Ishak (lima, kanan). Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kompleks bernilai RM36 juta yang dibina pada 2015 itu siap sepenuhnya pada 2017 dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan, bilik mesyuarat, makmal komputer dan surau.

Terdahulu, majlis sama turut menyaksikan pelancaran pembukaan program Gagasan Rumpun Selangor edisi kedua yang bertujuan memperkukuh semangat perpaduan serta sistem kemasyarakatan di negeri ini.

Program berkenaan memulakan jelajah hari ini di daerah Petaling dan dijadual berakhir di daerah Klang pada Oktober depan.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan meninjau bengkel JKR Selangor ketika Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan Pelancaran Pembukaan Program Gagasan Rumpun Selangor Tahun 2026 di Seksyen 17, Shah Alam pada 5 Mei 2026. Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (lima, kiri) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor Ir Shukri Ishak (lima, kanan). Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin dalam sembah ucapannya memaklumkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) mencatat kemajuan 79.11 peratus melibatkan 282 projek dan inisiatif.

Menurutnya, RS-1 tidak hanya menumpukan kepada status negeri paling maju, sebaliknya menekankan pembangunan negeri yang lebih berdaya huni.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan Pelancaran Pembukaan Program Gagasan Rumpun Selangor Tahun 2026 di Seksyen 17,Shah Alam pada 5 Mei 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kemajuan kita harus mencapai titik keseimbangan antara kemajuan ekonomi serta keberdayahunian supaya negeri yang menjadi rumah kepada lebih 7.3 juta rakyat.

“Paling asas adalah kualiti infrastruktur asas, baik daripada segi fasiliti awam sehingga ke tahap jalan-jalan awam yang diguna rakyat dalam menggerakkan aktiviti ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan dana RM4.5 juta bagi pelaksanaan program Gagasan Rumpun Selangor.

Tambahnya, Raja Muda Selangor turut berkenan menyediakan geran padanan melalui Selangor Youth Community (SAY) bagi membolehkan setiap daerah menikmati manfaat sama ada menerusi fasiliti baharu atau naik taraf kemudahan sedia ada.

“Hari ini dua projek di daerah Petaling akan direalisasikan iaitu kelestarian Denai Hijau di SS7 Kelana Jaya dan pembangunan Hab Komuniti Usahawan di Balai Raya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Bukit Lanchong,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.