Nur Zakirah cipta sejarah, menang emas Barebow Asia

3 Mei 2026, 12:58 PM
Nur Zakirah cipta sejarah, menang emas Barebow Asia

SHAH ALAM, 3 MEI: Dalam suasana saingan sengit dan cuaca tidak menentu, atlet muda negara, Nur Zakirah Syaiful Anwar tampil cemerlang apabila meraih pingat emas dalam Kejohanan Barebow Asia 2026 Championship, hari ini.

Pemanah berusia 16 tahun itu yang juga wakil termuda Malaysia mengakui kejayaan tersebut di luar jangkaan, namun menjadi detik paling bermakna dalam kariernya setakat ini.

“Saya memang tak jangka langsung dan terkejut dapat menang pingat emas untuk Malaysia,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, cabaran terbesar adalah berdepan pemanah lebih berpengalaman selain faktor cuaca yang berubah-ubah sepanjang kejohanan.

Atlet paling muda mewakili Malaysia dalam Kejohanan Barebow Asia 2026 Nur Zakirah Syaiful Anwar, 16, bercakap kepada media selepas Kejohanan Barebow Asia 2026 di Stadium Panasonic, Shah Alam pada 3 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Walaupun begitu, kemenangan tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh.

“Sasaran saya selepas ini adalah untuk sertai lebih banyak kejohanan termasuk peringkat kebangsaan dan cuba pecahkan rekod peribadi,” katanya.

Sementara itu, jurulatihnya yang juga bapanya, Syaiful Anwar Sirat berkata kejayaan itu hasil disiplin dan latihan konsisten yang telah bermula sejak tahun lalu.

“Latihan dibuat sepanjang tahun, bukan hanya untuk kejohanan. Persiapan ini sebenarnya sudah bermula sejak 2025 bagi memastikan dia sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau optimis bakat Nur Zakirah akan terus digilap dan berpotensi membawa nama Selangor serta Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam sukan memanah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.