Amaran ribut petir hingga 9 malam, paras sungai di Selangor meningkat

3 Mei 2026, 11:59 AM
Amaran ribut petir hingga 9 malam, paras sungai di Selangor meningkat

SHAH ALAM, 3 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga jam 9 malam ini.

Antara negeri terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Di Selangor, kawasan yang dijangka terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

Selain itu, amaran turut melibatkan beberapa kawasan di Sarawak iaitu Serian, Sri Aman, Miri dan Limbang, manakala di Sabah membabitkan Pantai Barat termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran, serta Semporna di Tawau.

Seiring cuaca tidak menentu, beberapa stesen pemantauan sungai di Selangor turut merekodkan peningkatan paras air hingga mencecah tahap bahaya, amaran dan berjaga-jaga.

Di Kuala Selangor, Saujana Aman mencatatkan bacaan 8.31 meter, melepasi paras bahaya 7.5 meter.

Kampung Salak Tinggi di Sepang pula merekodkan bacaan 8.89 meter, melepasi paras amaran 8.7 meter.

Manakala, Kampung Rantau Panjang di Klang merekodkan paras air 2.57 meter, melepasi tahap berjaga-jaga 2.4 meter.

Sementara itu, Kampung Melayu Seri Kundang di Gombak mencatatkan bacaan 22.9 meter, turut melebihi paras berjaga-jaga 22.7 meter.

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.

Amaran ini bersifat jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir, serta mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi MetMalaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.