SHAH ALAM, 3 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran tegas kepada orang ramai agar tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkait isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh mencetuskan ketegangan awam.
Dalam kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan pihaknya memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian serta platform dalam talian, khususnya kandungan bersifat provokatif, menghina atau menghasut kebencian.
Menurutnya, orang ramai disaran menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan salah faham dan permusuhan dalam masyarakat.
“SKMM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan untuk memantau, menyiasat serta mengambil tindakan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, SKMM turut menegaskan tindakan boleh diambil terhadap penyedia platform yang gagal memberi kerjasama, selain mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang serta mencegah penyalahgunaan perkhidmatan.
Sebelum ini tular penyebaran imej khinzir berpakaian adat istana sehingga mencetuskan pelbagai kecaman. SKMM sudah mengambil keterangan pentadbir akaun media sosial terlibat dan siasatan masih berlangsung.
Terbaru, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengecam sekeras-kerasnya penyebaran kandungan visual yang disunting dan menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri, yang didakwa dimuat naik melalui beberapa akaun Facebook.
MAIS dalam kenyataan hari ini berkata tindakan berkenaan, yang dikaitkan dengan akaun Facebook “Lucas Liam” serta sebelum ini turut melibatkan akaun “Huayan The Pure Learning Centre”, disifatkan sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan sengaja dilakukan untuk melukakan perasaan umat Islam di Selangor.
Menurut MAIS, kandungan visual tersebut bukan sahaja tidak menghormati kedudukan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai Ketua Agama Islam, malah mengaitkan institusi berkenaan dengan imej dan unsur yang bertentangan dengan hukum syarak serta melampaui norma masyarakat.
“MAIS percaya bahawa tindakan-tindakan tersebut dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di Selangor,” menurut kenyataan itu lagi.








