SHAH ALAM, 3 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan segera terhadap individu yang didakwa menghina Sultan Selangor di media sosial.
EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu berkata tindakan berkenaan adalah keterlaluan dan tidak sepatutnya dibiarkan berulang, sebaliknya memerlukan tindakan tegas bagi mengelakkan ia menjadi ikutan pihak lain.
“Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini dan kita minta PDRM dan SKMM ambil tindakan tegas. Individu yang lakukan ini tidak ada rasa kesetiaan pada negara dan Rukun Negara juga telah jelas tertulis.
“Isu hinaan ini tidak sepatutnya berterusan dan perlu ada tindakan segera daripada pihak berkaitan supaya tidak merebak. Tindakan tegas dengan hukuman berat perlu dikenakan kepada pelaku,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik Pelajar Orang Asli bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Foyer SUK, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula penggunaan internet dan aplikasi digital yang berpotensi disalah guna sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Sudah tiba masanya kerajaan melihat semula penggunaan aplikasi yang beri kesan pada keharmonian. Sebab itu kita lihat ada beberapa negara yang tidak membenarkan sesetengah aplikasi digunakan,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Terbaharu, turut tular imej berunsur kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan Sultan Selangor tidak memakai baju sambil memegang permainan air.
Hari ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyifatkan kedua-dua insiden berkenaan sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan didakwa sengaja dilakukan bagi melukakan perasaan umat Islam di Selangor.
Pengerusinya, Dato’ Salehuddin Saidin berkata kandungan visual tersebut bukan sahaja tidak menghormati kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Islam, malah mengaitkan institusi berkenaan dengan imej serta unsur yang bertentangan dengan hukum syarak dan melampaui norma masyarakat.
Semalam, EXCO Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah turut menyifatkan tindakan berterusan menghina Institusi Kesultanan Selangor sebagai biadab.
Beliau berkata sebarang cubaan memperlekeh atau menghina institusi berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.








