MB turun padang ziarah penduduk uzur, sumbang kerusi roda

1 Mei 2026, 9:50 AM
MB turun padang ziarah penduduk uzur, sumbang kerusi roda
MB turun padang ziarah penduduk uzur, sumbang kerusi roda

GOMBAK, 1 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini turun padang menziarahi penduduk uzur di sekitar Gombak serta menyampaikan bantuan keperluan asas termasuk kerusi roda.

Lawatan bersempena cuti Hari Pekerja itu dimanfaatkan untuk menyantuni golongan memerlukan, khususnya individu berdepan masalah kesihatan serta bakal jemaah haji.

"Antara yang diziarahi ialah mereka yang uzur dan memerlukan bantuan segera. Kita salurkan sumbangan makanan harian serta kerusi roda bagi memudahkan urusan mereka," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, pendekatan turun padang penting bagi memastikan bantuan disalurkan terus kepada golongan sasaran selain memahami keadaan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada Paridah Ismail di Kampung Datuk Karim, Batu Caves pada 1 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

"Bagi bakal jemaah haji, kita turut sampaikan insentif Muassasah serta sokongan daripada pejabat Parlimen bagi membantu persiapan mereka," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua turut meninjau lokasi kebakaran berhampiran Sungai Tua bagi menilai keperluan mangsa serta menyalurkan bantuan sewajarnya.

"Saya doakan semua yang terlibat terus tabah menghadapi dugaan ini dan kita akan bantu setakat kemampuan," tambahnya.

Sementara itu, bantuan kerusi roda yang disalurkan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua memberi kelegaan kepada warga emas uzur, khususnya dalam memudahkan pergerakan harian mereka.

Penerima, Mohd Alwi Abd Hamid, 76, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan Amirudin terhadap golongan orang kurang berupaya (OKU) dan warga emas di kawasan berkenaan.

Mohd Alwi Abd Hamid, 76, bercakap kepada media selepas sumbangan kerusi roda di Kampung Datuk Karim,  Batu Caves pada 1 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

"Terima kasih banyak-banyak. Pemimpin seperti inilah yang kita harapkan, yang menjaga kebajikan orang tua dan OKU. Apa sahaja yang dilakukan, hanya Allah mampu membalasnya.

"Wang ringgit tidak ternilai. Saya doakan semua yang membantu ini diberkati dan dipermudahkan urusan, asalkan dilakukan dengan ikhlas," katanya yang mengalami masalah sendi sejak lebih lapan tahun lalu.

Beliau berkata bantuan dua kerusi roda untuk dirinya dan isteri amat penting kerana sebelum ini pergerakannya sangat terhad sehingga terpaksa bergantung kepada ahli keluarga.

"Tanpa kerusi roda, saya perlu didukung untuk ke bilik air. Memang sakit dan tidak selesa. Sekarang sekurang-kurangnya saya boleh bergerak sendiri dengan lebih mudah.

"Dulu saya guna kerusi roda lama yang diberikan orang. Dengan bantuan ini, pergerakan jadi lebih selesa dan lancar," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.