SHAH ALAM, 30 APRIL: Kerajaan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan tentera Israel dibebaskan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengutuk tindakan ganas rejim Zionis yang disifatkan sebagai pelanggaran serius undang-undang maritim selain menyerupai perbuatan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.
Justeru, beliau menegaskan keselamatan semua aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan mesti dijamin tanpa sebarang kompromi.
“Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.
"Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Penaung Sumud Nusantara berkata dalam situasi getir itu, nilai ihsan dan kemanusiaan perlu mengatasi segala perbezaan, selain Malaysia akan terus mempertahankan prinsip tersebut.
“Kepada Allah SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla. Hasbunallahu wa ni‘mal wakil,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor turut mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang menyerang, menghalang serta menahan aktivis GSF 2.0 ketika menjalankan misi kemanusiaan ke Gaza.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang perairan antarabangsa, malah mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan apabila kapal bantuan dipintas dan aktivis diculik berhampiran Pulau Crete, Greece.
Kementerian Luar Israel hari ini mengesahkan kira-kira 175 aktivis daripada lebih 20 kapal misi bantuan ke Gaza telah ditahan.
Menurutnya, kesemua aktivis terbabit kini sedang dibawa ke Israel.
Terdahulu, Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) memaklumkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1) serta Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Turut terlibat Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II).








