Selangor kecam tindakan Israel serang, tahan aktivis flotilla Gaza

30 Apr 2026, 9:54 AM
Selangor kecam tindakan Israel serang, tahan aktivis flotilla Gaza
Selangor kecam tindakan Israel serang, tahan aktivis flotilla Gaza

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kerajaan Selangor mengecam tindakan rejim Zionis yang menyerang, menghalang serta menahan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ketika menjalankan misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang perairan antarabangsa, malah mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan apabila kapal bantuan dipintas dan aktivis diculik berhampiran Pulau Crete, Greece.

“Malah, kelompok ini telah sekian lama membuktikan bahawa mereka berhasrat meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin; sama ada dalam bentuk serangan pengeboman ataupun penghentian bantuan kemanusiaan oleh pihak lain seperti insiden terbaharu ini.

“Sikap lanun pembunuh ini turut memangsakan penduduk di rantau Asia Barat, termasuk rakyat Lebanon yang diusir dari tanah sendiri, ataupun penduduk di Iran yang menjadi mangsa pembunuhan.

“Saya menggesa kecaman dan ikhtiar yang mencakupi semua aspek untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis Israel dari semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 56 kapal milik Global Sumud Flotilla berlayar dari Sicily, Itali ke Gaza pada 26 April 2026 dengan membawa bekalan keperluan penting.

Terdahulu, Amirudin yang mengetuai delegasi Malaysia dalam misi tersebut memaklumkan beliau akan menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi memastikan keselamatan aktivis Malaysia yang terlibat serta usaha pembebasan mereka.

Kementerian Luar Israel hari ini mengesahkan kira-kira 175 aktivis daripada lebih 20 kapal misi bantuan ke Gaza telah ditahan.

Menurutnya, kesemua aktivis terbabit kini sedang dibawa ke Israel.

“Kira-kira 175 aktivis daripada lebih 20 kapal kini sedang dibawa secara aman ke Israel,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, sambil menyertakan video aktivis berkenaan di atas kapal tentera laut Israel.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.