Hina Sultan Selangor: Individu sunting gambar dipercayai guna akaun palsu

29 Apr 2026, 1:07 PM
Hina Sultan Selangor: Individu sunting gambar dipercayai guna akaun palsu

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan individu yang menyunting gambar Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menggunakan akaun palsu untuk menyebarkan kandungan berunsur sensitif.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata seorang lelaki telah dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, siasatan itu berkait kandungan yang diklasifikasikan sebagai berunsur 3R, iaitu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja.

Katanya, individu berkenaan bagaimanapun menafikan sebarang pembabitan dalam memuat naik kandungan yang didakwa menghina Sultan Selangor seperti yang tular sebelum ini.

"Pada waktu ini, MCMC sedang bekerjasama dengan Meta serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan analisis forensik digital bagi mengesahkan beberapa perkara dibangkitkan termasuk penafian oleh individu terbabit.

"Antara perkara yang sedang dalam penelitian adalah sama ada wujud elemen akaun palsu atau elemen ejen provokator yang sengaja menghasilkan, mewujudkan akaun palsu memuat naik kandungan untuk menimbulkan amarah umum," katanya dalam sidang media mingguan di Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti pemilik atau pentadbir akaun Facebook yang menggunakan nama 'Huayan The Pureland Learning Centre' berhubung gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.