SHAH ALAM, 29 APRIL: Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 2026.
RUU itu diluluskan Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San selepas dibacakan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.
Menurut Jamaliah, ia bertujuan untuk menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] bagi memperkukuh penguatkuasaan, pengurusan dan pemuliharaan kawasan berhutan di Selangor.
"Berdasarkan subseksyen 1(2) Akta A1667, akta ini tidak boleh berkuat kuasa dalam sesuatu negeri melainkan ia diterima pakai oleh suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri menurut Fasal (3) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan.
"Akta A1667 ini digubal bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negara bergerak seiring dengan perkembangan semasa yang merangkumi aspek pencegahan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.
"Selain itu, ia juga untuk menambahbaik dan memantapkan pengurusan kawasan hutan simpanan kekal serta pengukuhan pembangunan sektor perhutanan negara," katanya
Semalam, Dato' Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri sedang merangka garis panduan khusus berkaitan pengkuarian mampan di kawasan hutan simpan kekal, selaras dengan pelan strategik Jabatan Perhutanan Negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan memastikan aktiviti pengkuarian dilaksanakan mengikut undang-undang selain memelihara kelestarian alam sekitar.






