Loji WTE Jeram 1 mula operasi Jun, proses 1,500 tan sisa sehari

28 Apr 2026, 12:53 PM
Loji WTE Jeram 1 mula operasi Jun, proses 1,500 tan sisa sehari
Loji WTE Jeram 1 mula operasi Jun, proses 1,500 tan sisa sehari

SHAH ALAM, 28 APR: Loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 yang dijadual mula beroperasi Jun ini mampu memproses sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari, sekali gus memperkukuh sistem pengurusan sisa di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan projek WTE yang merupakan antara inisiatif utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menjadi langkah penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah.

“Bulan Jun loji rawatan WTE Jeram 1 akan mula mengambil sisa pepejal sebanyak 1,500 tan daripada keseluruhan 8,000 tan sisa pepejal yang diuruskan dalam Selangor.

“Tidak berapa lama kemudian WTE kedua di Jeram yang sedang dalam pembinaan sekarang akan siap dan WTE Tanjung Dua Belas akan siap 2028.

“Keseluruhan tiga-tiga WTE kita jangka akan dapat uruskan 4,000 hingga 5,000 tan daripada 8,000 tan sisa pepejal yang diuruskan sekarang,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Ke-15 di Shah Alam pada 28 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih ke atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Selangor merupakan antara negeri yang melaksanakan sendiri projek WTE ini, berbeza dengan kebanyakan negeri lain yang bergantung kepada projek Persekutuan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan grid bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kini hanya menunggu fasa komersial sebelum operasi penuh bermula.

Amirudin berkata peningkatan jumlah sisa pepejal di Selangor yang kini mencecah kira-kira 8,000 tan sehari menuntut pendekatan lebih mampan, termasuk penggunaan teknologi WTE sebagai alternatif kepada tapak pelupusan sedia ada.

“WTE adalah sebahagian daripada solusi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pembuangan sampah yang tidak lagi mampan, selain memberi nilai tambah kepada pengurusan sisa negeri,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar memberikan tumpuan lebih serius kepada pembangunan industri WTE, memandangkan sektor itu merupakan antara pemacu utama masa hadapan dalam menangani cabaran pengurusan sisa dan keperluan tenaga lestari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.